Search
Close this search box.

PM yakin ekonomi negara akan segera pulih semula

Kuala Lumpur: Sudah sampai masanya industri dan perniagaan kini bersiap sedia dengan peralihan sosio ekonomi pasca pandemik covid-19.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia perlu dilakukan selepas kerajaan mempercepatkan proses vaksinasi dan melaksana pelbagai polisi serta pelan pemulihan bagi mengurangkan impak pandemik covid-19.

Beliau berkata, kerajaan yakin ekonomi negara dapat dibina semula secara berperingkat sekali gus membina masa depan yang lebih baik bersama.

“Perubahan pantas dan yang tidak pernah berlaku sebelum ini akibat pandemik ini memaksa kita untuk terus mengubah aspek kelestarian yang telah mempengaruhi banyak bahagian kehidupan kita.

“Ketika kita mengharungi pandemik ini, saya ingin menekankan kembali bahawa kita seharusnya tidak melupakan cabaran yang ditimbulkan oleh perubahan iklim.

“Perubahan iklim boleh memberi kesan dan ancaman jangka panjang terhadap kesejahteraan sosial, pembangunan ekonomi dan kesihatan global,” katanya pada ucap tama majlis pelancaran IGEM 2021 secara maya tadi.

Turut hadir Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

IGEM yang dianjurkan secara maya di www.igem.my antara 1 Julai hingga 31 Disember ini bakal menampilkan hampir 300 pempamer dari 50 negara dan dijangka menarik kunjungan 30,000 pelawat.

Ia dijangka mampu menjana lebih RM5 bilion potensi pelaburan biarpun diadakan secara maya tahun ini.

Acara enam bulan ini akan mengetengahkan tema daripada pelbagai aspek industri mampan bermula dengan tema Teknologi Hijau (Julai), Air (Ogos),Perubahan Iklim dan Alam Sekitar (September), Kemampanan (Oktober), Pembiayaan Hijau (November) dan Tenaga dan e-Mobiliti (Disember).

Setiap tema bulanan ini akan dilengkapi dengan acara persidangan dan aktiviti serta maklumat terkini berkaitan sektor terbabit, hasil daripada perkongsian pakar industri.

Dalam pada itu Muhyiddin berkata, kerajaan mahu meneroka potensi peranan hidrogen dalam campuran tenaga negara dan sumbangannya kepada pembangunan semula ekonomi negara.

Beliau berkata pandemik ini memberi dorongan baharu buat kita semua memainkan peranan dalam agenda kelestarian.

Beliau turut melahirkan rasa gembira apabila Persidangan dan Pameran Antarabangsa Greentech dan Produk Eko Malaysia (IGEM ) akan menganjurkan ‘The Strategic Lab-Visioning a Hydrogen Economy for Malaysia’.

“Penganjuran ini adalah untuk meneroka potensi peranan hidrogen dalam campuran tenaga negara dan bagaimana ia dapat menyumbang untuk membina semula ekonomi kita. Sesi ini akan diketuai oleh barisan panel terdiri daripada pakar dari dalam dan luar negara.

“Saya mengalu-alukan usaha syarikat Malaysia untuk menjalin kerjasama mengenai teknologi dan perkongsian pengetahuan dalam ekosistem hidrogen, pengkomersialan dan teknologi hijau.”

“Adalah amat wajar dipuji yang syarikat-syarikat ini komited untuk melabur secara aktif dalam projek hidrogen hijau dan penyampaian tenaga boleh diperbaharui, ekonomi kitaran dan mobiliti karbon yang rendah,” katanya.

Mengulas lanjut Muhyiddin berkata, kerajaan akan terus menerapkan pendekatan menyeluruh untuk memastikan dasarnya adalah jelas dan kondusif untuk pembangunan ekonomi yang mampan.

“Adalah penting untuk kita kekal tangkas dengan berlibaturus dengan semua pemain industri dan pihak berkepentingan untuk menyampaikan ‘kesihatan planet’ (planetary health) dengan lebih baik dalam jangka panjang,” katanya.

Sumber : Harian Metro