Search
Close this search box.

IGEM 2020 jana potensi pelaburan perniagaan RM3.4b

KUALA LUMPUR: Pameran dan Persidangan Produk Eko dan Teknologi Hijau Antarabangsa Malaysia (IGEM) 2020 yang diadakan pada 19 hingga 23 Okt 2020 menerima penyertaan 79 negara dan berjaya menjana potensi pelaburan perniagaan bernilai RM3.4 bilion.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man ketika mengumumkan perkara tersebut berkata platform penganjuran secara dalam talian itu membuka ruang yang lebih luas kepada pihak luar terutama pakar-pakar terkenal dunia dalam bidang teknologi hijau.

“Mereka terlibat secara aktif dalam sesi persidangan sama ada secara langsung atau rakaman. Selain itu, para peserta juga telah berjaya meneroka pelbagai peluang dan kerjasama baharu menerusi sistem padanan perniagaan.

“Tahun 2020 sangat mencabar kerana pandemik Covid-19 memberi kesan besar kepada ekosistem perniagaan dan pertumbuhan ekonomi negara. Bagaimanapun, kita bersyukur kerana IGEM 2020 dapat diteruskan dan dianjurkan dengan jayanya,” katanya ketika mengumumkan pencapaian penganjuran IGEM 2020 pada sidang media secara dalam talian hari ini.

Menurutnya, kejayaan IGEM 2020 adalah hasil komitmen dan kolaborasi rakan strategik pelbagai agensi kerajaan iaitu Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Luar Malaysia.

Tuan Ibrahim berkata IGEM 2020 melakar sejarah tersendiri sebagai platform pameran dan persidangan antarabangsa yang dianjurkan buat pertama kali di Malaysia secara dalam talian dan mengikut kebiasaan baharu.

Sementara itu, beliau memaklumkan IGEM akan terus memainkan peranan penting sebagai platform tahunan dan berinteraksi dengan industri, usahawan, badan bukan kerajaan (NGO) serta rakyat secara efektif untuk mengembangkan pembangunan agenda hijau negara.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak untuk terus menyokong penganjuran IGEM 2021 yang akan diadakan selama enam bulan bermula 1 Julai hingga 31 Dis tahun ini.

“Berdasarkan pengalaman dan kejayaan edisi dalam talian tahun lepas, kami menjangkakan bahawa IGEM 2021 akan dilaksanakan secara hibrid, iaitu di platform dalam talian dan fizikal.

“Komitmen semua adalah amat penting bagi memastikan jenama IGEM terus unggul sebagai sebuah platform perniagaan dan inovasi teknologi hijau terkemuka di rantau ini dan seterusnya mendorong pertumbuhan ekonomi hijau negara dan memacu tindakan bersama menangani perubahan iklim,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau Malaysia (MGTC) Shamsul Bahar Mohd Nor menjelaskan tempoh enam bulan bagi penganjuran IGEM 2021 adalah supaya persidangan tersebut mendapat lebih banyak penglibatan daripada pihak berkepentingan dan industri.

“Acara ini selama enam bulan, jadi akan ada banyak persidangan dan seminar, bersama-sama MIDA kami harap dapat menjana lebih banyak pelaburan masuk ke Malaysia,” katanya. – BERNAMA

Source : Harakah Daily