KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan menganjurkan lebih 500 pertemuan perniagaan kepada perniagaan sempena Pameran dan Persidangan Produk Eko dan Teknologi Hijau Antarabangsa Malaysia (IGEM 2019) Ke-10 bermula esok.
MATRADE berkata, usaha padanan perniagaan yang dikenali sebagai Program Penyumberan Antarabangsa (INSP), adalah pemudahan pengenalan MATRADE untuk menghubungkan pembekal Malaysia dengan pembeli asing.
INSP terdiri daripada sesi padanan perniagaan yang disesuaikan dan dijalankan serentak dengan acara antarabangsa yang diadakan di negara ini.
Pengarah Seksyen Minyak dan Gas, Kimia dan Tenaga MATRADE, S. Jai Shankar berkata jumlah pembeli daripada INSP menjadi bukti keupayaan agensi itu untuk mencari pembeli dari hampir semua benua di dunia.
“Sebanyak 46 pejabat kami di seluruh dunia menjadi pemangkin kepada kejayaan INSP berikutan mereka melabur banyak masa untuk mengenal pasti pembeli ini,” katanya dalam kenyataan.
Mengenai penawaran, MATRADE bekerjasama dengan persatuan untuk meningkatkan ketepatan proses padanan.
“Antara lain, kami bekerjasama dengan Gabungan Bangunan Hijau Malaysia, Persatuan Elektrik dan Elektronik Malaysia, Gabungan Industri Biojisim Malaysia, Persatuan Industri Fotovoltaik Malaysia dan Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia untuk mengenal pasti pembekal yang tepat, selain memanfaatkan pangkalan data pengeksport MATRADE sendiri,” katanya.
IGEM adalah acara perdagangan terbesar di Asia Tenggara bagi penyelesaian teknologi hijau dan eko, menjana berbilion dalam potensi perniagaan dan menarik lebih 350,000 pengunjung termasuk delegasi, golongan kenamaan dan syarikat dari lebih 50 negara.
-BERNAMA
Sumber : Berita Harian