Search
Close this search box.

Pemberian geran GeRAK diteruskan, perkasa inisiatif bandar rendah karbon

PUTRAJAYA, 7 Februari– Kerajaan Perpaduan akan meneruskan pemberian Geran Pemangkin Bandar Rendah Karbon (GeRAK) bagi memperkasakan inisiatif bandar rendah karbon berimpak tinggi.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata geran yang dilancarkan pada tahun lepas itu menetapkan hala tuju dan pendekatan yang bersesuaian dengan konsep bandar rendah karbon ke arah mencapai sasaran pengurangan gas rumah kaca (GHG).

GeRAK yang dilancarkan dengan peruntukan sebanyak RM35 juta diutamakan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang melaksanakan program Rangka Kerja Bandar Rendah Karbon (LCCF) serta Cabaran Bandar Rendah Karbon 2030 di peringkat kategori Zon Rendah Karbon.

Sebanyak 150 PBT, masing-masing menerima berjumlah RM250,000 pada tahun lepas bagi memperkasakan inisiatif bandar rendah karbon itu.

“Insya-Allah. Kita akan teruskan sebab Perdana Menteri pun letakkan elemen alam sekitar atau kita sebut ‘Green Economy’ ini sebagai salah satu fokus dalam Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan dalam sidang Parlimen akan datang,” kata Nik Nazmi kepada pemberita RTM dalam sidang media selepas Majlis Pra-Pelancaran Pameran dan Persidangan Produk Teknologi Hijau dan Eko Antarabangsa Malaysia (IGEM) 2023, di sini.

(Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad ditemui pemberita RTM
pada Majlis Pra-Pelancaran Pameran dan Persidangan Produk Teknologi Hijau dan Eko Antarabangsa Malaysia (IGEM) 2023)

IGEM 2023 bertemakan “Race Towards Net Zero: Leadership for Climate Action” akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 4 hingga 6 Oktober 2023.

“Tahun lepas, IGEM 2022 telah membawa Bussiness Leads berjumlah RM4.25 bilion dan tahun ini kita menyasarkan minimum untuk ialah sebanyak RM4 bilion dengan rekod prestasi yang baik yang kita ada sejak IGEM bermula.

Maka, kita ada keyakinanlah untuk dapat mencapai sasaran tersebut malah melangkauinya,” tambahnya.

Sumber : RTM