Search
Close this search box.

IGEM 2022 sasar jana prospek perniagaan RM3 bilion

MAJLIS perasmian persidangan dan pameran antarabangsa Teknologi Hijau dan Produk Eko Malaysia 2022.
Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Zaini Ujang (empat dari kanan) dan Pengerusi Lembaga Pengarah, Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation, Datuk Iskandar Abdul Samad (kelima dari kanan) bersama penaja-penaja utama IGEM 2022 pada majlis perasmian hari ini.

PETALING JAYA – Persidangan dan Pameran Antarabangsa Teknologi Hijau dan Produk Eko Malaysia (IGEM) 2022 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur sehingga esok disasarkan mampu menarik prospek perniagaan bernilai RM3 bilion.

Acara tersebut mempamerkan perkembangan terkini teknologi hijau, penyelesaian eko dan juga menggalakkan pertukaran pengetahuan, idea dan inovasi serantau.

Dengan lebih 300 gerai pameran, ia dijangka akan menerima 30,000 pelawat dan terdapat 15 sesi persidangan yang melibatkan 30 penceramah serta sembilan rakan persidangan dengan penglibatan wakil dari 30 buah negara, termasuk Taiwan, China, Belanda, Kanada, Korea, Singapura dan Austria.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man dalam ucapan perasmian IGEM 2022 hari ini menegaskan komitmen Malaysia ke arah mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan harapan untuk mencapai neutral karbon menjelang 2050.

“Saya percaya pembangunan pesat sektor teknologi hijau akan merangsang pertumbuhan keluaran dalam negara kasar, sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan baharu yang berkualiti tinggi kepada rakyat.

“Ini akan meningkatkan kualiti hidup dan kelestarian alam sekitar di Malaysia dalam jangka masa panjang dan akan memastikan kemakmuran Keluarga Malaysia pada masa hadapan,” katanya.

Memperkasakan pembangunan bandar lestari, mobiliti elektrik, penyahkarbonan tenaga dan kitaran ekonomi adalah antara fokus utama IGEM pada tahun ini. – KOSMO! ONLINE

Sumber : KOSMO!