KUALA lUMPUR: Persidangan dan Pameran Teknologi Hijau dan Product Eko Antarabangsa Malaysia atau International Greentech and Eco Products Exhibition and Conference Malaysia (IGEM) merupakan platform yang ideal untuk menerokai peluang perniagaan sektor tenaga hijau.
Menurut Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, IGEM 2021 dijangka memanfaatkan pasaran ASEAN yang sedang berkembang pesat dengan penyertaan meluas daripada sektor industri, agensi kerajaan serta pelabur dalam mempamerkan inovasi teknologi hijau terkini mereka.
Katanya, platform IGEM yang dibuat melalui virtual akan turut melibatkan pemegang taruh lain seperti badan-badan bukan kerajaan (NGO), pakar-pakar dan lain-lain pihak untuk membincang isu-isu terkini berkaitan teknologi hijau, perubahan iklim dan alam sekitar.
“IGEM Virtual 2021 akan mempunyai pengisian yang menarik dengan setiap bulan mempunyai tema masing-masig seperti perubahan iklim, pembangunan mampan dan sebagainya.
“Selain daripada pameran virtual, akan juga terdapat webinar dan video menarik, pocket talks, dan peluang untuk networking yang akan merancakkan agenda mengarusperdanakan dan merakyatkan pembangunan hijau,” ujarnya ketika berucap dalam Majlis Pra-perasmian IGEM, yang dijalankan secara maya, hari ini.
Sementara itu, beliau mewakili Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) turut menjangkakan impak yang lebih besar untuk IGEM pada tahun ini berbanding tahun lalu.
Katanya, dalam masa 6 bulan ini, platform maya akan dapat menawarkan lebih banyak cadangan nilai dan peluang kepada semua peserta termasuk memupuk lebih banyak kesedaran terhadap pertumbuhan mampan.
Malah,Virtual IGEM 2021 juga akan menjadi pertemuan pemikir dari seluruh dunia untuk membincangkan inovasi baharu demi pembangunan semula sektor ekonomi dengan lebih baik ketika kita mengharungi wabak ini, ujarnya.
Tambahnya, tema Redefining Sustainability Virtual IGEM 2021 platform maya ini turut menawarkan pendekatan yang unik dan inovatif untuk membolehkan komuniti global bertemu mengikut keselesaan di lokasi masing-masing untuk mengambil bahagian dalam pameran, sesi ceramah serta mengatur pertemuan business to business (B2B).
Program anjuran agensi KASA, Malaysian Green Technology and Climate Change Centre (MGTC) itu akan berlangsung selama 6 bulan akan bermula 1 Julai sehingga 31 Disember 2021 secara maya di www.igem.my.
Ia dijangka menampilkan hampir 300 pempamer dari 50 buah negara, menarik kunjungan 30,000 pelawat berdaftar dan menjana lebih RM5 bilion potensi pelaburan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MGTC, Shamsul Bahar Mohd Nor berkata IGEM telah memainkan peranan penting sepanjang 11 tahun penganjurannya dalam membangunkan ekonomi hijau yang berkembang pesat di Malaysia dan luar negara.
Beliau juga yakin bahawa IGEM 2021 akan memainkan peranan yang sama seperti tahun sebelumnya selain memberikan lebih banyak peluang untuk sesi perkongsian idea dan inovasi’.
“Dalam usaha kami untuk mentakrifkan semula kelestarian, platform maya IGEM 2021 telah disusun semula dengan ciri-ciri baharu untuk interaksi yang lebih dinamik dan mudah.
“Saya menyeru agar semua organisasi dan usahawan hijau untuk mendaftar diplatform IGEM 2021 dalam usaha membina semula ekonomi pasca pandemik yang lebih berdaya tahan dan lebih hijau,” katanya.
Setelah lebih sedekad penganjurannya, IGEM telah berjaya mencapai lebih daripada RM30 bilion potensi pelaburan dan kunjungan daripada 500,000 pelawat termasuk orang-orang kenamaan, pihak-pihak berkepentingan dan syarikat dari lebih 79 buah negara. – HARAKAHDAILY 25/6/2021
Sumber : Harakah Daily