KUALA LUMPUR – Malaysian Green Technology and Climate Change Centre (MGTC) menyasarkan untuk meraih pelaburan berjumlah RM1.6 bilion menerusi penganjuran Pameran dan Persidangan Antarabangsa Greentech dan Eco Products (IGEM) tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MGTC, Shamsul Bahar Mohd Nor berkata, pada penganjuran tahun lalu, pihaknya berjaya meraih pelaburan bernilai RM6 bilion dan menjangkakan jumlah tersebut mampu mencecah sehingga RM22.09 bilion dalam jangka masa 10 tahun.
“Setiap tahun kami anjurkan IGEM secara fizikal dan disebabkan pandemik koronavirus (Covid-19), maka kita akan adakan secara maya buat julung kalinya bermula 19 sehingga 23 Oktober depan.
“Sasaran awal pelaburan pada penganjuran kali ini adalah RM3.2 bilion, namun setelah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) merumuskan semula maka kita sasarkan RM1.6 bilion,” katanya pada Majlis Hi-Tea MGTC bersama media di sini semalam.
Hadir sama, Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Timbalannya, Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad dan Pengerusi MGTC, Profesor Datuk Ir Dr A Bakar Jaafar.
Pada majlis tersebut, Shamsul Bahar turut memberi penerangan kepada wakil media yang hadir mengenai sejarah MGTC dan peranannya dalam mengurus perubahan iklim dan pembangunan hijau.
Dalam pada itu, Shamsul Bahar berkata, sehingga kini hampir 30,000 produk hijau telah dikembangkan antara tahun 2010 dan 2019 bernilai RM556 juta melalui program pemerolehan hijau kerajaan.
Katanya, MGTC turut menyasarkan untuk membangunkan 50,000 produk hijau menjelang tahun 2030.
“Selain itu, MGTC merancang beberapa program untuk memperhebatkan lagi teknologi hijau menerusi pelbagai inisiatif antaranya Pusat Inkubasi Teknologi Hijau, Pusat Pembangunan Hidrogen, Laluan Eko Trail dan sebagainya.
“Justeru, kita mengharapkan usaha-usaha ini dapat diketengahkan dan disalurkan dalam kalangan masyarakat menerusi jalinan kerjasama bersama pengamal media,” katanya.
Sumber : Sinar Harian